Isnin, 7 Mac 2016

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


TEKS UCAPAN

PELANCARAN KELAB ETIKA ROCKERS NUSANTARA
TARIKH: 6hb JUN 2015
TEMPAT: ASMARA COFFEE DOME
TAMAN LAGENDA, MELAKA
MASA: 9.00 PM


Assalaamualaikum WBT dan salam sejahtera kepada semua yang hadir pada malam ini. Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana dengan limpah izinNya kita dapat sama sama berkumpul bagi pelancaran Kelab Etika Rockers Nusantara. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada MAQIB dan sahabat sahabat yang banyak membantu sehingga kesini.

Tuan tuan & puan puan yang saya hormati sekelian,

Kumpulan Etika adalah salah satu kumpulan yang pernah sama sama menyinari persada muzik tanahair di era 80an - 90an dengan konsep muzik rock yang diminati ramai ketika itu. Pada sekitar penghujung 80an sehingga 90an banyak kumpulan tumbuh bagai cendawan dan ada diantara mereka tidak dapat bertahan lama. Kami adalah salah satu dari kumpulan yang turut sama melangkah arus untuk memeriahkan muzik di Malaysia.

Dengan rendah diri disini ingin saya memberi sedikit maklumat tentang tertubuhnya Kumpulan Etika. Kumpulan Etika ditubuhkan pada tahun 1985 dengan nama asal sebagai Wasiat dan mempunyai seramai 6 orang anggota iaitu Kaswan (vocal), Bakhtiar (gitar), Abd Hai (gitar), Jamal (drum), Zainuddin (bass) dan Rahmat Samsi (keyboard).

Diwaktu itu kami lebih banyak membuat persembahan di majlis kawin dan funfair. Pernah memasuki pertandingan di Expo Malaysia 30 Tahun hingga ke peringkat akhir. Di awal tahun 1988 Rahmat dan Zainuddin menarik diri atas sebab peribadi dan kami mendapat khidmat Mohd Razif sebagai pemain bass . Pada pertengahan tahun 1988 pemain gitar Abd Hai pula meraik diri untuk bermain di kelab dgn kumpulan lain dan kami mendapat khidmat  Zain Azman sebagai pengganti yang akhirnya menyertai kumpulan Blackrose. 

Walaupun banyak tawaran untuk rakaman selepas pertandingan di Expo Malaysia 30 Tahun, kami terpaksa menolak untuk memantapkan kumpulan. Akhirnya kami menerima tawaran dari Syarikat Happy Record untuk album pertama yang diterbitkan oleh Sani, Siso dan Usop (Kopratasa) dan dilancarkan pada September 1990. Sebelum memulakan rakaman pihak syarikat meminta kami untuk menukar nama kumpulan kerana dikatakan tidak sesuai. Setelah berpakat akhirnya kami besetuju menggunakan nama Etika atas cadangan Jamal yang bekerja di Dewan Bahasa ketika itu.

Berbagai cabaran dan dugaan di tempuh dan pada tahun 2000 pemain bass Mohd Razif pergi menemui Ilahi. Kami membawa haluan masing2 dan ada diantara yang masih bergiat dalam muzik selain pekerjaan lain. Pada tahun 2014 kami bersepakat untuk reunion atas desakan kawan2 dan ada juga peminat yang menyarankan. Melalui media sosial juga banyak peminat muzik mengharapkan untuk melihat kembali aksi kumpulan kami walaupun dah ‘otai’. Kali ini kami akan beraksi kembali dan dalam perancangan untuk menerbitkan sendiri album terbaru dengan kerjasama sahabat sahabat yang lebih professional.

Dengan itu juga kami ingin melancarkan Kelab Etika Rockers Nusantara sebagai landasan untuk membantu sahabat2 lain dan juga mengumpulkan peminat muzik di bawah satu matlamat untuk memajukan lagi industri muzik di Malaysia. Kelab ini bertujuan untuk mengumpulkan terutamanya peminat peminat muzik dimana dengan itu kami dapat mengadakan sesi beramah mesra ataupun persembahan yang dirancang boleh di salurkan terus.

Kami juga menyahut saranan Kerajaan dalam memperkasakan Industri Kreatif untuk dibawa ketahap yang lebih tinggi dan mampu menjana pendapatan yang lebih baik. Hubungan baik dengan setiap badan badan berkaitan muzik juga akan diperkukuhkan seperti Syarikat syarikat Rakaman, MACP, PRISM, Kementerian Penerangan, semua kedai atau ejen peralatan muzik dan yang terutama peminat peminat muzik.

Kami juga akan cuba untuk bergerak kesetiap negeri di Malaysia untuk membuat persembahan sambil membawa sekali grup pelapis untuk di ketengahkan.
Besarlah harapan kami agar segala impian ini akan tercapai dengan bantuan dari semua lapisan masyarakat dan peminat muzik supaya dapat merealisasikan segala perancangan. Insyaallah.

Akhir kata saya berharap pelancaran Kelab Etika Rockers Nusantara ini akan menjadi lantai pergerakan industri kreatif bukan setakat untuk Etika tetapi sebagai dasar kemajuan muzik dan pelapis bagi menuju Wawasan Malaysia 2020 dan juga dunia.

Terima kasih.


Kaswan Arsat
Kelab Etika Rockers Nusantara


Tiada ulasan:

Catat Ulasan